Saturday, December 5, 2015

PERTANDINGAN DEBAT JUNIOR SEHEBAT 2016 - Deskripsi Usul Pertandingan

PERTANDINGAN DEBAT JUNIOR SEHEBAT 2016 - Deskripsi Usul Pertandingan

Pusingan Awal 1
Tema : SUKAN
Skop : MUTU BOLA SEPAK

"Sejak akhir-akhir ini, pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia mengalami kemerosotan baik dari segi prestasi, kualiti permainan atau daya saing sepasukan. Meskipun pelbagai langkah proaktif mahupun remedial telah diambil, namun mutu bola sepak Malaysia masih lagi berada di takuk lama, ibarat hanya jaguh kampung semata-mata. Namun begitu, keadaan ini jauh berbeza dengan prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan oleh skuad bola sepak kebangsaan negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam malah Cambodia sekalipun. Persaingan skuad-skuad ini cukup sengit bukan sahaja di medan bola sepak serantau malah juga di peringkat antarabangsa. Persoalannya, apakah yang telah pihak pengurusan bola sepak di negara-negara ini lakukan sehingga berjaya meningkatkan mutu bola sepak negara masing-masing? Dan apa lagi yang Malaysia belum lakukan agar mampu bersaing setaraf dengan gergasi bola sepak serantau dan antarabangsa?"
Pusingan Awal 2
Tema : TEKNOLOGI MAKLUMAT & KOMUNIKASI
Skop : PENGGUNA INTERNET
"Kecenderungan ramai pengguna Internet untuk menyalahgunakan pelbagai jenis media sosial bagi tujuan memenuhi kepentingan diri turut mendapat perhatian serius pihak kerajaan. Ada yang bertindak suka menyebarkan sesuatu isu (viral) tanpa mengkaji benar palsunya. Ada juga yang menjadikan media sosial sebagai medan penyebaran fitnah dan provokasi melampau. Malah tidak kurang juga yang menjadikan media sosial sebagai medium untuk menyuburkan propaganda yang sesat lagi menyesatkan. Namun begitu, di sebalik perkara-perkara negatif ini, ada juga segelintir pihak yang memanfaatkan sepenuhnya sisi positif media sosial ini bagi tujuan kebaikan. Contohnya, dalam meningkatkan kualiti pendidikan secara maya, perniagaan atas talian, meningkatkan hubungan sosial secara positif dan sebagainya. Pendek kata, penggunaan media sosial ini amat berkait rapat dengan niat dan tujuan sebenar para pengguna Internet itu sendiri."
Pusingan Awal 3
Tema : SAINS
Skop : KEMANDIRIAN BUMI
"Secara antropologinya, usia Bumi sudah pun mencecah 4.5 juta tahun. Dalam jangkamasa sebegitu, kepadatan penduduk Bumi semakin meningkat sehinggakan dicatatkan pada tahun 2015, direkodkan populasi penduduk Bumi mencapai kira-kira 7.2 billion orang. Negara China dihuni oleh 1.36 billion penduduk, iaitu 18.8% daripada populasi dunia. India di tangga kedua dengan 1.25 billion penduduk (17.2%) dan negara jiran, Indonesia pula menduduki tempat keempat dengan jumlah penduduk seramai 255 juta orang (3.5%). Sememangnya dalam situasi kepadatan penduduk yang kian meningkat kini, pelbagai impak telah dapat dilihat terhadap kemandirian Bumi. Namun begitu, kebimbangan para pemimpin dunia dan masyarakat saintis antarabangsa adalah keupayaan Bumi menampung sebegitu ramai jiwa. Maka, apakah usaha masyarakat antarabangsa untuk menangani masalah ini? Sehinggakan timbul cadangan baru untuk manusia meneroka kesesuaian Bulan dan planet-planet agar dapat dijadikan kediaman yang baru."
Pusingan Awal 4
Tema : PENDIDIKAN
Skop : PERKEMBANGAN DIRI KANAK-KANAK
"Di Malaysia (dan kebanyakan negara lainnya), Subseksyen 29A(2), Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002) telah memperuntukkan bahawa Menteri boleh, 'Jika difikirkan wajar dan demi kepentingan murid atau awam untuk berbuat demikian', melalui perintah yang disiarkan dalam warta, mengecualikan mana-mana murid atau mana-mana golongan murid yang dikehendaki supaya mengikuti pendidikan wajib, sama ada secara mutlak atau tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkannya dan patut dikenakan, dan boleh pada bila-bila masa menurut budi bicaranya membatalkan pengecualian itu atau membatalkan atau menambah syarat-syarat itu."
Pusingan Awal 5
Tema : ALAM SEKITAR
Skop : PENCEMARAN
"Kebelakangan ini, pencemaran alam sekitar kian berleluasa di bumi kita ini. Bukan sahaja tanah ditarah dengan rakus, sumber air dicemari pelbagai kotoran, udara dilitupi jerebu dan asap tercemar malah hutan belantara dan lautan samudera diteroka tanpa belas ihsan. Namun apakah yang menjadi punca kepada semua kebobrokan ini? Adakah sikap manusia yang terlalu tamak? Atau salah pembangunan yang terlalu pesat? Mahupun tanggapan bahawa alam sekitar bukan lagi satu amanah tetapi hanya anugerah?"
Peringkat Suku Akhir
Tema : KEMERDEKAAN
Skop : SUBJEK SEJARAH
"Dalam konteks pembinaan tamadun manusia, kepentingan subjek Sejarah sebagai mekanisme pendidikan utama telah disuarakan sekian lama oleh pelbagai pihak. Wang Gung Wu umpamanya telah mengangkat martabat Sejarah dari sudut kepentingan memperingati masa lalu khususnya dalam membentuk keperibadian sesuatu kumpulan, puak atau kelompok masyarakat. Menurut Sartono Kartodirdjo pula, pendidikan Sejarah berperanan sebagai alat menyuburkan keprihatinan sesebuah bangsa terhadap jatuh bangunnya bangsa dan negara mereka. Dengan keprihatinan sebegitu, maka secara tidak langsung dapat membentuk sikap bertanggungjawab seseorang warganegara itu terhadap kesejahteraan negaranya."
Peringkat Separuh Akhir
Tema : SAINS
Skop : NILAI KREATIVITI
"Otak merupakan antara organ terpenting yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada manusia bagi tujuan berfikir dan mentafsir. Kemampuan berfikir seseorang itu tidaklah bergantung kepada saiz atau berat jisim otak fizikalnya tetapi pada sel-sel neuron yang terkandung di dalam organ berkenaan. Orang yang jarang berfikir secara paling minimumnya mempunyai sejumlah 10 billion sel. Setiap satu sel berhubungan dengan sel saraf yang lain. Orang yang rajin berfikir pula mempunyai sehingga 1 trillion sel. Semakin kerap kita berfikir, semakin banyaklah sel-sel otak yang terbentuk. Setiap sel otak mempunyai keupayaan tersendiri sehingga membolehkan otak menampung sekurang-kurangnya 120 kemahiran. Malangnya, kebanyakan manusia hanya menggunakan 5 hingga 10% sahaja daripada keupayaan otak mereka."
Pertandingan Akhir
Tema : KEADILAN SEJAGAT
Skop : GERAKAN MASSA
"Dengan memiliki kuasa yang hebat, hadir bersama tanggungjawab yang berat. - Benjamin Parker."
"With great power, comes great responsibility. - Benjamin Parker."
Nota Penting
1. Senarai usul rasmi bagi setiap pusingan awal, suku akhir dan separuh akhir akan diumumkan menerusi blog ini pada hari Isnin, 29 Februari 2016.
2. Usul rasmi bagi pertandingan akhir akan diumumkan sebaik sahaja tamat peringkat separuh akhir pada pukul 1.00 petang, Sabtu, 2 April 2016.

No comments:

Post a Comment