Wednesday, May 31, 2017

Penyertaan DEBAT JUNIOR 2017


Pertandingan Debat Junior SEHEBAT 2017,
6-9 Julai 2017, SM Sains Batu Pahat, Johor.

Setakat 30 Mei 2017, institusi berikut telah mengesahkan penyertaan:

1. SMPN Dumai 2 (A), Indonesia✅
2. SMPN Dumai 2 (B), Indonesia✅
3. SM Sains Batu Pahat (SEHEBAT) ✅
4. SM Sains Muar (SAMURA)✅
5. SM Sains Johor (SMSJ) ✅
6. SM Sains Kota Tinggi (SAKTI)✅
7. SM Sains Sembrong (SASEM) ✅
8. Sekolah Tun Fatimah (STF)✅
9. The Malay College Kuala Kangsar (MCKK)✅
10. Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) ✅
11. Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP)✅
12. SM Sains Banting (BASIS) ✅
13. Sekolah Sultan Alam Shah (SAS)✅
14. SMKA Tun Ahmadshah (TUNAS) ✅
15. SMK (P) Sultan Ibrahim (SIGS, JB) ✅
16. SMK Sultan Ismail (SMKSI, JB)✅
17. MRSM Batu Pahat (MRSMBPJ)✅
18. SM Sains Kuching Utara (SAKURA)✅
19. SBP Integrasi Gopeng (IGOP)✅
20. SM Sains Selangor (SMSS)✅

Kuota : 20 buah pasukan debat Bahasa Melayu

Friday, May 26, 2017

USUL PERTANDINGAN DEBAT JUNIOR 2017

SENARAI USUL PERTANDINGAN


Pusingan Awal 1 : Sukan
*Dewan Ini Akan Menggalakkan Penajaan Sektor Korporat Dalam Meningkatkan Mutu Sukan Negara.*

Pusingan Awal 2 : ICT
*Dewan Ini Akan Mewujudkan Unit Khas Pahlawan Papan Kekunci (Keyboard Warriors) Bagi Menangani Serangan Siber.*

Pusingan Awal 3 : Sains
*Penggunaan Teknologi Menjadikan Manusia Malas Berfikir.*

Pusingan Awal 4 : Sosial
*Malaysia Belum Mesra Orang Kelainan Upaya.*

Pusingan Awal 5 : Alam Sekitar
*Kelestarian Alam Sekitar Perlu Diutamakan Berbanding Pembangunan Ekonomi.*

Suku Akhir : Kemerdekaan / Sikap Rakyat
*- akan diumumkan 30 minit sebelum bertanding*

Separuh Akhir : Undang-Undang / Jenayah
*- akan diumumkan 30 minit sebelum bertanding*

Akhir : Pendidikan / Perpaduan
*- akan diumumkan 30 minit sebelum bertanding*

Sila rujuk *Kertas Konsep Pertandingan Debat Junior SEHEBAT 2017* seperti yang tertera dalam http://belajardebat.blogspot.com untuk format dan peraturan. Mohon jasa baik untuk hebahkan kepada semua guru pengiring pasukan bertanding. Terima kasih.

TENTATIF DEBAT JUNIOR 2017

TENTATIF DEBAT JUNIOR 2017

HARI PERTAMA:
Khamis, 6 JULAI 2017
2.00 petang – 4.00 petang
Sesi Pendaftaran Pasukan
Daftar Masuk Penginapan
4.00 petang – 6.00 petang
Taklimat Pertandingan
6.00 petang – 7.30 malam
Makan Malam
8.00 malam – 10.00 malam
Pusingan Awal 1
           
HARI KEDUA:
Jumaat, 7 JULAI 2017
7.30 pagi – 8.00 pagi
Sarapan
8.00 pagi – 10.00 pagi
Pusingan Awal 2
10.00 pagi – 11.00 pagi
Minum Pagi
11.00 pagi – 1.00 petang
Pusingan Awal 3
1.00 petang – 3.00 petang
Makan Tengah Hari / Solat Jumaat
3.00 petang – 5.00 petang
Pusingan Awal 4
6.00 petang – 7.30 malam
Makan Malam
8.00 malam – 10.00 malam
Pusingan Suku Akhir
           
HARI KETIGA:
Sabtu, 8 JULAI 2017
7.30 pagi – 8.00 pagi
Sarapan
8.00 pagi
Pendaftaran Bitara Jawi
8.30 pagi
Pertandingan Separuh Akhir dijalankan
10.00 pagi – 11.00 pagi
Minum Pagi
1.00 petang – 2.00 petang
Makan Tengah Hari / Solat Zohor
2.30 petang
Pertandingan Akhir Debat Junior 2017 dijalankan
Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah 
           
HARI KEEMPAT:
Ahad, 9 JULAI 2017
7.30 pagi – 8.00 pagi
Sarapan
8.00 pagi – 10.00 pagi
Daftar Keluar Penginapan dan Pergerakan Pulang Pasukan



KERTAS KONSEP DEBAT JUNIOR 2017

KERTAS KONSEP  PERTANDINGAN DEBAT JUNIOR 2017

                                                                                          Anjuran:                                                 
SEKOLAH MENENGAH SAINS BATU PAHAT,
JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA

NAMA

1.              Pertandingan ini dinamakan PERTANDINGAN DEBAT JUNIOR SEHEBAT 2017 atau singkatannya DEBAT JUNIOR 2017.

FORMAT

1.            Setiap pasukan dianggotai oleh empat (4) orang pembahas, terdiri daripada
a)      Dua (2) orang pelajar Tingkatan Satu (berusia 13 tahun)
b)     Dua (2) orang pelajar Tingkatan Dua (berusia 14 tahun)

2.            Dalam satu-satu perlawanan, 4 orang pembahas utama akan berdebat manakala salah seorangnya akan bertindak sebagai Juruteknik ICT.

3.            Setiap pasukan perlu menyenaraikan seorang (1) guru pengiring / pembimbing.

4.            Satu pasukan dikenali sebagai Pihak Pencadang akan bertanding dengan satu pasukan lawan yang dikenali sebagai Pihak Pembangkang.

5.            Pihak Pencadang dianggotai oleh
a)      Pencadang Pertama (Sesi Ucap Utama),
b)     Pencadang Kedua (Sesi Ucap Utama),
c)      Pencadang Ketiga (Sesi Debat Tarung),
d)     Pencadang Keempat (Sesi Debat Tarung).

6.            Pihak Pembangkang pula dianggotai oleh
a)      Pembangkang Pertama (Sesi Ucap Utama),
b)     Pembangkang Kedua (Sesi Ucap Utama),
c)      Pembangkang Ketiga (Sesi Debat Tarung),
d)     Pembangkang Keempat (Sesi Debat Tarung).

7.            Peruntukan masa dan giliran berucap adalah seperti berikut:

NO
PENCADANG
MASA
NO
PEMBANGKANG
MASA
SESI UCAP UTAMA
1
Pencadang Pertama
7 minit
2
Pembangkang Pertama
7 minit
3
Pencadang Kedua
7 minit
4
Pembangkang Kedua
7 minit

SESI DEBAT TARUNG
(Debat Terbuka)
5
Pencadang Ketiga
60 saat
6
Pembangkang Ketiga
60 saat
7
Pencadang Keempat
60 saat
8
Pembangkang Keempat
60 saat
9
Pencadang Ketiga
60 saat
10
Pembangkang Ketiga
60 saat
11
Pencadang Keempat
60 saat
12
Pembangkang Keempat
60 saat
13
Pencadang Ketiga
60 saat
14
Pembangkang Ketiga
60 saat
15
Pencadang Keempat
60 saat
16
Pembangkang Keempat
60 saat


SESI SOALAN JURI
17
Pencadang Ketiga
4 minit
18
Pembangkang Ketiga
4 minit
SESI PENGGULUNGAN
20
Pencadang Keempat
4 minit
19
Pembangkang Keempat
4 minit
28 minit
28 minit

JUMLAH MASA : 56 – 80 minit

·         Tertakluk kepada sebarang perubahan.

8.            Pembahas pertama kedua-dua pasukan dibenarkan untuk mengutarakan satu hujah sahaja. Pembahas kedua juga hanya mengemukakan satu hujah. Dalam satu-satu perlawanan, setiap pasukan hanya perlu mengemukakan dua hujah pasukan sahaja.

9.            Pembahas ketiga ditugaskan untuk terlibat dalam sesi debat tarung, iaitu dalam sesi debat terbuka dan menjawab soalan juri.

10.        Pembahas keempat pula ditugaskan untuk terlibat dalam sesi debat tarung, iaitu dalam sesi debat terbuka dan menyampaikan ucapan penggulungan.

11.        Salah seorang pembahas akan bertugas selaku Juruteknik ICT Pasukan bagi menyelenggara sebarang bentuk paparan multimedia, aplikasi gajet mahupun perkakasan elektronik.

12.        Peranan dan bidang tugas setiap pembahas adalah seperti berikut:

No
PIHAK PENCADANG
No
PIHAK PEMBANGKANG

SESI UCAP UTAMA

1

PENCADANG PERTAMA
-          Pendirian Pencadang
-          Definisi Pencadang
-          Hujah Pertama Pencadang
-          Penegasan
-          Memberi & Menjawab Izin Laluan

2

PEMBANGKANG PERTAMA
-          Pendirian Pembangkang
-          Bidas Definisi & Hujah 1 Pencadang
-          Hujah Pertama Pembangkang
-          Penegasan
-          Memberi & Menjawab Izin Laluan

3

PENCADANG KEDUA
-          Pendirian Pencadang
-          Bidas Definisi &
-          Bidas Hujah 1 Pembangkang
-          Hujah Kedua Pencadang
-          Penegasan
-          Memberi & Menjawab Izin Laluan

4

PEMBANGKANG KEDUA
-          Pendirian Pembangkang
-          Bidas Hujah 2 Pencadang
-          Hujah Kedua Pembangkang
-          Penegasan
-          Memberi & Menjawab Izin Laluan



SESI DEBAT TARUNG
(Debat Terbuka)                                  

5
9
13

PENCADANG KETIGA
-          Membidas segala kenyataan/fakta yang dikemukakan oleh pihak pembangkang
-          Menegaskan pendirian dan menyokong hujah pihak pencadang dengan memberi fakta baru

6
10
14

PEMBANGKANG KETIGA
-          Membidas segala kenyataan/fakta yang dikemukakan oleh pihak pencadang
-          Menegaskan pendirian dan menyokong hujah pihak pembangkang dengan memberi fakta baru

7
11
15

PENCADANG KEEMPAT
-          Membidas segala kenyataan/fakta yang dikemukakan oleh pihak pembangkang
-          Menegaskan pendirian dan menyokong hujah-hujah pencadang dengan memberi fakta baru

8
12
16

PEMBANGKANG KEEMPAT
-          Membidas segala kenyataan/fakta yang dikemukakan oleh pihak pencadang
-          Menegaskan pendirian dan menyokong hujah-hujah pembangkang dengan memberi fakta baru

SESI SOALAN JURI

17

PENCADANG KETIGA
-          Mendengar & memahami soalan juri
-          Menjawab soalan juri dengan tepat
-          Penegasan

18

PEMBANGKANG KETIGA
-          Mendengar & memahami soalan juri
-          Menjawab soalan juri dengan tepat
-          Penegasan

SESI PENGGULUNGAN

20

PENCADANG KEEMPAT
-          Rumusan & Bidasan Hujah Pembangkang
-          Pengukuhan Hujah Pencadang

19

PEMBANGKANG KEEMPAT
-          Rumusan & Bidasan Hujah Pencadang
-          Pengukuhan Hujah Pembangkang

13.        Semasa satu pihak sedang berucap, ahli-ahli pasukan lawan boleh memohon izin laluan bermula pada minit pertama (paparan kad masa 6:00) hingga minit keenam (paparan kad masa 1:00).

14.        Hanya pembahas pertama dan kedua daripada setiap pasukan sahaja yang dibenarkan untuk memberi dan menjawab izin laluan daripada pihak lawan. Setiap pembahas diwajibkan untuk memberi dan menjawab sekurang-kurangnya dua (2) izin laluan.

15.        Selepas pembahas pertama dan kedua berucap, pembahas ketiga dan pembahas keempat daripada kedua-dua pihak akan terlibat dalam sesi debat tarung. Terdapat 2 peringkat pelaksanaan bagi sesi debat tarung ini, iaitu sesi debat terbuka dan sesi soalan juri.

16.        Bagi sesi debat terbuka, setiap pembahas ketiga dan keempat diberi masa selama 60 saat untuk mengemukakan apa jua isu berbangkit yang berkaitan dengan ucapan-ucapan perdebatan yang telah disampaikan lebih awal.

17.        Para pembahas disyorkan untuk membidas secara ringkas isu pihak lawan dan kemudiannya mengemukakan isu/ fakta tambahan bagi pasukan sendiri.

18.        Perlakuan ini akan berlaku secara selang-seli antara pembahas ketiga dan keempat kedua-dua belah pihak. Setiap pembahas akan berpeluang untuk berucap dalam sesi debat terbuka sekurang-kurangnya sebanyak 3 kali setiap seorang.

19.        Loceng hanya akan dibunyikan setelah tamat 60 saat bagi menandakan pihak lawan boleh bangun untuk membidas dan mengemukakan isu pasukannya pula.

20.        Disyorkan agar setiap pembahas memanfaatkan sepenuhnya masa 60 saat berkenaan bagi membantu mengukuhkan hujah dan pendirian pasukan masing-masing.

21.        Setelah tamat sesi debat terbuka (iaitu tamat masa keseluruhan 12 minit yang diperuntukkan), maka sesi soalan daripada juri pula akan berlangsung.

22.        Pihak juri akan mengemukakan satu soalan sahaja (berdasarkan isu-isu yang dibangkitkan semasa sesi debat terbuka) kepada setiap pembahas ketiga.

23.        Juri perlu mengemukakan soalan kepada pembahas ketiga dalam tempoh masa tidak melebihi 1 minit. Setiap juri akan dinasihatkan untuk memberikan soalan yang ringkas, padat dan tepat.

24.        Pembahas ketiga diberi masa selama 1 minit (ruang masa senyap) untuk menyediakan jawapan kepada soalan berkenaan.

25.        Apabila tamatnya 1 minit, maka loceng akan dibunyikan sekali dan pembahas ketiga hendaklah mengemukakan jawapan lisan beliau dalam tempoh masa 3 minit sahaja.

26.        Loceng akan dibunyikan sekali pada minit kedua menandakan baki 1 minit lagi untuk menjawab soalan juri. Loceng dibunyikan dua kali apabila tamat tempoh masa 3 minit.

27.        Sesi soalan juri ini bermula dengan jawapan daripada Pencadang Ketiga dan kemudiannya Pembangkang Ketiga.

28.        Setelah tamatnya sesi soalan juri, maka Pembangkang Keempat akan memulakan sesi penggulungan kemudian diikuti oleh Pencadang Keempat.

29.        Peruntukan masa selama 4 minit sahaja diperuntukkan kepada setiap penggulung.

30.        Loceng akan dibunyikan sekali pada minit ketiga menandakan baki 1 minit lagi untuk ucapan penggulungan. Loceng dibunyikan dua kali apabila tamat tempoh masa 4 minit.

KELAYAKAN

1.             Pertandingan ini hanya terbuka kepada para pelajar Tingkatan 1 dan 2 (Umur 13-14 tahun) bagi sesi persekolahan tahun semasa (2017) daripada semua sekolah menengah di Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei Darussalam.

2.             Setiap sekolah hanya dibenarkan menghantar satu pasukan debat Bahasa Melayu sahaja untuk pertandingan ini, iaitu wajib terdiri daripada
a)      Dua (2) orang pelajar Tingkatan Satu (berusia 13 tahun)
b)     Dua (2) orang pelajar Tingkatan Dua (berusia 14 tahun)

3.             Setiap pasukan hanya boleh mendaftarkan empat (4) orang pembahas dan seorang (1) guru pengiring.

4.             Setiap pasukan hanya boleh diwakili oleh para pelajar yang sedang belajar di sekolah berkenaan sahaja.

5.             Pendaftaran pasukan hendaklah disahkan secara rasmi oleh pihak sekolah menerusi Guru Pengiring masing-masing sebelum menyerahkan Borang Penyertaan Pasukan kepada Urus Setia Pertandingan semasa sesi pendaftaran.

6.             Borang Penyertaan Pasukan semasa sesi pendaftaran kelak hendaklah disertakan dengan SATU SALINAN SIJIL KELAHIRAN / MYKAD untuk setiap pembahas bagi tujuan pengesahan umur setiap peserta oleh pihak penganjur.

7.             Umur pembahas hendaklah antara 13 hingga 14 tahun pada tahun pertandingan. Kegagalan mematuhi syarat ini akan menyebabkan penyertaan pasukan berkenaan terbatal secara automatik.

8.             Ahli pasukan yang telah didaftarkan secara rasmi tidak boleh diganti dengan peserta lain sepanjang pertandingan. Pelanggaran terhadap peraturan ini akan membatalkan penyertaan pasukan yang terlibat.

PENGHAKIMAN

1.            Bahagian teknikal penghakiman akan diuruskan sepenuhnya oleh pihak penganjur.

2.            Semua pertandingan debat pusingan awal akan dihakimi sama ada secara juri agung (supreme judge), iaitu hanya seorang sahaja hakim yang akan mengadili satu-satu sesi perlawanan ataupun menggunakan tiga (3) orang hakim bagi setiap sesi perlawanan (bergantung kepada kesesuaian dan jumlah hakim bertugas).

3.            Namun begitu, pihak penganjur akan berusaha sebaik mungkin untuk menyediakan sekurang-kurangnya tiga (3) orang hakim bertugas bagi setiap pusingan awal.

4.            Pusingan suku akhir akan dihakimi oleh tiga (3) orang hakim bagi setiap sesi perlawanan.

5.            Pusingan separuh akhir pula akan dihakimi oleh lima (5) orang hakim bagi setiap sesi perlawanan.

6.            Pertandingan akhir akan dihakimi oleh sekurang-kurangnya tujuh (7) orang hakim yang dilantik oleh pihak teknikal penghakiman.

7.            Para hakim akan diberi taklimat tentang peraturan penghakiman sebelum pertandingan.

8.            Para hakim dilarang untuk mengadili pertandingan yang melibatkan pasukan sekolah/alma mater mereka sendiri. Namun begitu, larangan ini akan terbatal sekiranya tiada hakim lain pada ketika itu dan setelah memperoleh persetujuan kedua-dua pasukan yang bertanding.

9.            Pasukan yang mendapat undi majoriti panel hakim akan diumumkan sebagai pemenang pertandingan. Markah terkumpul setiap pasukan tidak akan dijadikan asas untuk menentukan pemenang pertandingan.

10.        Pengerusi Debat atau petugas dewan akan memungut borang keputusan semua hakim selepas keputusan diumumkan. Para hakim TIDAK DIBENARKAN UNTUK BERBINCANG atau merujuk sesama mereka berhubung dengan keputusan yang dibuat.

11.        Pembahas terbaik setiap perlawanan akan diputuskan melalui sistem juri. Terdapat dua gelaran pembahas terbaik yang akan ditentukan oleh para hakim, iaitu Pendebat Utama Terbaik dan Pendebat Tarung Terbaik.

12.        Sekiranya berlaku persamaan markah, maka markah keseluruhan tertinggi pembahas akan diambil kira untuk menentukan pembahas terbaik. Nama pembahas terbaik akan diumumkan sebaik sahaja selepas perbahasan dilaksanakan.

13.        Semua hakim diwajibkan untuk membuat ulasan selepas perbahasan berakhir dalam tempoh masa tidak lebih daripada lima (5) minit.

14.        Ulasan hakim hendaklah berfokus kepada kekuatan dan kelemahan setiap pasukan dalam aspek isi, strategi dan gaya persembahan secara ringkas dan bersifat umum. Ulasan hendaklah tidak menyentuh peribadi mana-mana pembahas secara khusus.

STRUKTUR DAN SISTEM PERTANDINGAN

1.            Sebanyak dua puluh (20) buah pasukan dibenarkan untuk bertanding dalam edisi tahun 2017.

2.            Setiap pasukan akan bertanding sekurang-kurangnya dalam 5 pusingan awal yang diadakan menurut sistem power match Swiss bracket.

3.            Penentuan peranan (sama ada pencadang atau pembangkang) dan pasukan lawan adalah berdasarkan sistem tersebut.

4.            Penentuan kedudukan pasukan selepas setiap pusingan awal ditetapkan menurut kriteria berikut;

a)      Jumlah Menang
b)     Jumlah Juri (jika bersesuaian)
c)      Jumlah Margin
d)     Jumlah Markah

5.            Lapan pasukan terbaik setelah tamat 5 pusingan awal akan bertanding di peringkat suku akhir.

6.            Perlawanan peringkat suku akhir, separuh akhir dan pertandingan akhir akan dilaksanakan secara menang mara.

7.            Usul pertandingan bagi pusingan awal (kecuali usul suku akhir, separuh akhir dan pertandingan akhir) akan diumumkan sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh pertandingan. Berikut merupakan tema bagi setiap pusingan;

a)          Pusingan Awal 1               : SUKAN
b)         Pusingan Awal 2               : ICT
c)          Pusingan Awal 3               : SAINS
d)         Pusingan Awal 4               : SOSIAL
e)          Pusingan Awal 5               : ALAM SEKITAR
f)           Suku Akhir                           : KEMERDEKAAN
g)          Separuh Akhir                    : UNDANG-UNDANG
h)         Pertandingan Akhir         : PENDIDIKAN

*Tertakluk kepada sebarang perubahan oleh pihak penganjur.

8.            SEMUA KEPUTUSAN HAKIM ADALAH MUKTAMAD.

9.            Sekiranya terdapat sebarang bantahan berasas terhadap keputusan para hakim, maka bantahan secara bertulis boleh dibuat dalam tempoh lima belas (15) minit selepas pertandingan kepada Bahagian Teknikal Penghakiman Debat Junior 2017.

10.        Bayaran deposit sebanyak RM300.00 (Tiga Ratus Ringgit sahaja) akan dikenakan bagi setiap bantahan yang dibuat.

11.        Jika bantahan diterima atau ditolak oleh Bahagian Teknikal Penghakiman, bayaran deposit tidak akan dipulangkan kepada pasukan yang membuat bantahan berkenaan.

12.        Keputusan Bahagian Teknikal Penghakiman setelah mempertimbangkan bantahan pasukan berkenaan adalah muktamad dan tidak boleh dicabar melalui apa-apa jua cara sekalipun (termasuklah perundangan). Keputusan yang dibuat akan mengambilkira kepentingan umum dan mencerminkan ketelusan serta kredibiliti pihak penganjur dan teknikal penghakiman.

TATACARA PERTANDINGAN

1.       USUL RASMI PERTANDINGAN akan diumumkan oleh pihak penganjur melalui paparan blog dan media sosial bagi memudahkan persediaan setiap pasukan. Usul pertandingan suku akhir, separuh akhir dan akhir hanya akan diumumkan 30 minit sebelum bermulanya pertandingan peringkat berkenaan.

2.       Penentuan kedudukan pasukan akan dilaksanakan menerusi sistem power match Swiss bracket dan diumumkan semasa sesi taklimat sebelum bermulanya pertandingan.

3.       Peranan pasukan (sama ada pencadang atau pembangkang) juga ditentukan menerusi sistem yang sama sebelum bermulanya sesi kuarantin.

4.       Setelah sesi panggilan pasukan (roll-call) dilakukan sebelum bermulanya setiap perlawanan, para pembahas akan diiringi ke bilik kuarantin masing-masing.

5.       Masa kuarantin adalah 30 minit sahaja.

6.       Atas faktor logistik dan pengurusan, maka ditetapkan bahawa PIHAK PENCADANG akan dikuarantinkan DI DALAM BILIK PERSEDIAAN MASING-MASING. Semua pasukan yang dikuarantinkan ini akan dikawal selia oleh petugas masing-masing.

7.       Manakala, PIHAK PEMBANGKANG pula akan dikuarantinkan DI DALAM DEWAN TAKLIMAT (sama ada di Pusat Sumber SEHEBAT atau Dewan Seri Banang).

8.       Setiap pasukan yang dikuarantinkan hendaklah terdiri daripada EMPAT (4) orang pembahas dan SEORANG (1) guru pembimbing pasukan berkenaan.

9.       Fungsi pembimbing ini (sama ada guru atau jurulatih) adalah untuk memberi panduan sewaktu sesi kuarantin berlangsung.

10.   Fungsi salah seorang daripada pembahas adalah sebagai Pengurus Pasukan dan Juruteknik ICT.  Pembahas ini akan menguruskan penggunaan komputer riba, gajet elektronik dan juga LCD mahupun Televisyen LCD semasa tempoh kuarantin dan juga semasa perlawanan berlangsung.

11.   Lima belas minit sebelum pertandingan bermula, pembahas Juruteknik ICT boleh berada di bilik sidang untuk menyediakan peralatan yang diperlukan bagi paparan multimedia pasukan masing-masing.

12.   Sebarang percubaan oleh mana-mana pihak lain (selain daripada 4 orang pembahas dan seorang pembimbing ini) untuk menceroboh masuk ke bilik kuarantin atau tindakan yang boleh mengganggu sesi kuarantin, sama ada dengan niat atau tidak dalam tempoh kuarantin dijalankan akan dipandang serius oleh Bahagian Teknikal Penghakiman.

13.   Pihak penganjur boleh mengambil tindakan susulan terhadap pihak terbabit berdasarkan maklumat yang telah diterima daripada semua pihak berkepentingan.

14.   Penggunaan komputer riba, gajet elektronik, dan sebarang perkakasan yang memiliki akses kepada laman sesawang atau Internet DIBENARKAN SEMASA SESI KUARANTIN.

15.   Sebarang bahan bercetak BOLEH DIBAWA SEBAGAI RUJUKAN semasa sesi kuarantin dan/atau semasa bertanding dan BOLEH DIPAPARKAN KEPADA AUDIENS SEBAGAI BAHAN BUKTI (contohnya, mengangkat keratan akhbar atau majalah bagi membuktikan kenyataan pembahas).

16.   Pasukan yang bertanding juga boleh menggunakan Komputer dan LCD serta Skrin atau Televisyen LCD untuk memaparkan bukti atau fakta pasukan.

17.   Semua peralatan atau gajet elektronik harus dibawa atau disediakan oleh pasukan itu sendiri. Keselamatan gajet elektronik dan komputer riba adalah atas tanggungjawab pasukan itu sendiri.

18.   Semasa bertanding, tiada tempoh masa tambahan diberikan atas pengendalian alatan elektronik tersebut.

19.   Pihak penganjur tidak akan menyediakan apa-apa gajet atau perkakasan elektronik bagi kegunaan pasukan bertanding. Penyediaan semua peralatan tersebut adalah atas inisiatif dan tanggungjawab pasukan masing-masing.

20.   Pasukan-pasukan yang bertanding disarankan agar membawa modem mudah alih sendiri untuk memastikan kemudahan akses kepada laman sesawang diperoleh pada setiap masa.

21.   Peruntukan masa kuarantin ditetapkan selama 30 minit sahaja bergantung kepada pengumuman Bahagian Teknikal Penghakiman.

22.   Setiap pasukan dikehendaki untuk berada di dalam bilik pertandingan 5 minit sebelum perbahasan bermula bagi melancarkan pertandingan. Pasukan yang gagal hadir setelah 15 minit bermulanya pertandingan akan diisytiharkan kalah secara automatik.

23.   Sebarang bantuan dalam apa jua bentuk daripada penonton atau penyokong ketika perbahasan dijalankan adalah dilarang sama sekali. Pengerusi Debat berhak memaklumkannya kepada Ketua Hakim untuk tindakan lanjut.


PERANAN PENGERUSI DEBAT

1.           Setiap sesi pertandingan bahas akan dipengerusikan oleh seorang PENGERUSI DEBAT bagi memastikan kelancaran pertandingan. Dalam kes-kes tertentu, PENGERUSI DEBAT boleh dilantik dalam kalangan hakim yang bertugas, terutamanya Ketua Hakim.

2.           PENGERUSI DEBAT tidak boleh membuat sebarang ulasan terhadap pembahas atau perbahasan semasa pertandingan sedang berlangsung.

3.           PENGERUSI DEBAT mesti peka pada sebarang bentuk bantuan yang diberikan atau gangguan terhadap pembahas dan memaklumkan kepada Ketua Hakim untuk tindakan selanjutnya.

4.           Ketua Hakim berkuasa untuk meminta pihak yang terbabit meninggalkan bilik perbahasan bagi memastikan pertandingan dapat berlangsung dalam suasana yang adil dan selesa.

5.           PENGERUSI DEBAT perlu memberi peruntukan masa yang sesuai kepada para hakim untuk mengisi markah. PENGERUSI DEBAT hendaklah menunggu isyarat daripada Ketua Hakim sebelum meneruskan perbahasan oleh pembahas seterusnya.

6.           PENGERUSI DEBAT akan mengumumkan mengumumkan keputusan pertandingan, pembahas terbaik dan pendebat tarung terbaik.

PERANAN PENJAGA MASA

1.            Penjaga Masa  perlu memastikan setiap pembahas diperuntukkan tujuh (7) minit untuk berbahas, 60 saat untuk sesi debat terbuka, empat (4) minit untuk sesi soalan juri dan empat (4) minit untuk menggulung.

2.            Penjaga masa akan membunyikan loceng selepas minit pertama (1:00) dan pada minit keenam (6:00) untuk menandakan ruang masa yang dibenarkan untuk pihak lawan memohon izin laluan. Pada akhir minit ketujuh (7:00), loceng akan dibunyikan sebanyak dua kali.

3.            Kad masa akan ditunjukkan oleh penjaga masa bagi memaklumkan baki masa yang tinggal pada setiap 1 minit (count down).

4.            Memastikan peruntukan masa 60 saat diberikan kepada setiap pembahas ketiga dan pembahas keempat dalam sesi debat terbuka.

5.            Memberi masa maksimum sebanyak satu (1) minit masa persediaan kepada kedua-dua pembahas ketiga untuk menyediakan jawapan kepada soalan juri.

6.            Memastikan peruntukan masa tiga (3) minit diberikan kepada setiap pembahas ketiga dalam sesi soalan juri.

7.            Memberi masa maksimum sebanyak satu (1) minit masa persediaan kepada kedua-dua pasukan untuk menyediakan ucapan penggulungan.

8.            Semasa menjawab soalan juri atau ucapan penggulungan, penjaga masa akan membunyikan loceng sekali bagi menandakan pembahas mempunyai baki masa sebanyak 1 minit. Pada minit terakhir, loceng akan dibunyikan dua kali untuk menandakan berakhirnya masa untuk menjawab soalan juri atau tamatnya tempoh ucapan penggulungan.

9.            Penjaga masa perlu memastikan semua keputusan, fail hakim dan peralatan perbahasan dihantar ke Bilik Urus Setia Bahas setelah selesainya pertandingan perbahasan.


SISTEM PEMARKAHAN

SESI UCAP UTAMA : 7 MINIT (setiap seorang pembahas)

1.            Setiap pembahas akan diberikan markah mengikut pembahagian berikut:

Perkara
Markah Penuh
a)     ISI
40 markah
b)     STRATEGI/STRUKTUR
25 markah
c)      GAYA PERSEMBAHAN                     
15 markah
d)      ICT
10 markah
e)     BAHASA*
10 markah
JUMLAH MARKAH
100 markah

*Penggunaan Bahasa Melayu Nusantara dibenarkan.

2.            Setiap pembahas pertama dan kedua diberi masa 7 minit untuk berucap.

SESI DEBAT TERBUKA : 3 MINIT (setiap seorang pembahas)

1.            Setiap pembahas akan diberikan markah mengikut pembahagian berikut:

Perkara
Markah Penuh
a)     ISI
40 markah
b)     STRATEGI/STRUKTUR
25 markah
c)      GAYA PERSEMBAHAN                     
15 markah
d)      ICT
10 markah
e)     BAHASA*
10 markah
JUMLAH MARKAH
100 markah

2.            Setiap pembahas dalam debat tarung diberi masa 3 minit untuk berucap. Agihannya adalah seperti berikut:

a)     Pencadang  Ketiga                                 : 60 saat x 3 kali = 3 minit
b)     Pembangkang Ketiga                           : 60 saat x 3 kali = 3 minit
c)      Pencadang Keempat                           : 60 saat x 3 kali = 3 minit
d)     Pembangkang Keempat                     : 60 saat x 3 kali = 3 minit


SESI SOALAN JURI : 4 MINIT (setiap pembahas ketiga)

1.            Setiap pembahas ketiga akan diberikan markah mengikut pembahagian berikut;

Perkara
Markah Penuh
a)     ISI
20 markah
b)     STRATEGI/STRUKTUR
10 markah
c)      GAYA PERSEMBAHAN
5 markah
d)     ICT
5 markah
d)     BAHASA*
10 markah
JUMLAH MARKAH
50 markah

2.            Setiap pembahas ketiga diberi masa selama 1 minit masa persediaan dan 3 minit masa untuk menjawab soalan juri. Agihannya adalah seperti berikut:

a)      Pencadang Ketiga                                           : 1 minit + 3 minit = 4 minit
b)     Pembangkang Ketiga                    : 1 minit + 3 minit = 4 minit


UCAPAN PENGGULUNGAN : 4 MINIT (setiap pembahas keempat)

1.             Setiap pembahas keempat/penggulung akan diberikan markah mengikut pembahagian berikut;

Perkara
Markah Penuh
a)     ISI
20 markah
b)     STRATEGI/STRUKTUR
10 markah
c)      GAYA PERSEMBAHAN
5 markah
d)     ICT
5 markah
d)     BAHASA*
10 markah
JUMLAH MARKAH
50 markah

2.             Pembahas keempat akan memberi ucapan penggulungan. Pihak Pembangkang akan memulakan Ucapan Penggulungan dan diikuti oleh pihak Pencadang.

3.             Setiap penggulung diberi 4 minit untuk berucap.


RUJUKAN UNTUK BORANG PEMARKAHAN

ISI

1.       Hakim perlu menilai isi dari segi hujah yang disampaikan dan bukan dari gaya penyampaian hujah.

2.       Hakim sewajarnya (harus) menilai ketepatan dan kemantapan hujah tanpa dipengaruhi oleh kepandaian pembahas berkata-kata.

3.       Penilaian isi juga termasuk penilaian dari segi ketepatan dan kemantapan bidasan. Hakim dinasihati mengikut tahap kemampuan pelajar sekolah menengah rendah.

4.       Tugas hakim adalah untuk menilai ketepatan dan kemantapan hujah dan bukannya sama ada lawan boleh membidas hujah yang diberi. Jikalau hujahnya kurang dari segi isi, markah untuk isi adalah kurang walaupun lawannya tidak membidas.

5.       Jikalau hujah yang diberi adalah lemah dari segi kemantapan dan ketepatan isi dan hujah itu tidak dilawan oleh pihak lawan, maka pihak yang tidak membidas hujah tersebut telah melakukan kesalahan yang lebih serius berbanding pihak yang menyampaikan hujah yang lemah itu kerana tidak mengambil kesempatan membidas hujah yang lemah itu.

STRATEGI

1.             Strategi meliputi tiga (3) perkara iaitu struktur penghujahan, agihan peruntukan masa berhujah serta pemahaman pembahas terhadap usul.

2.             Struktur penghujahan yang bermutu mempunyai pendahuluan, huraian dan penutup yang jelas. Semasa penghujahan diberikan, kata kunci akan diberi sebagai panduan arah tuju pembahas.

3.             Penghujahan perlu bersifat logik dan menunjukkan kesinambungan. Hal ini penting terutamanya bagi menunjukkan aliran idea yang selari dari pembahas pertama hinggalah pembahas keempat.

4.             Tempoh masa penghujahan adalah penting. Terdapat dua (2) aspek yang berkaitan dalam hal ini iaitu berhujah dalam masa yang dibenarkan dan memberi tempoh masa yang secukupnya untuk isu perhujahan.

5.             Pembahas sepatutnya memberi keutamaan kepada isi yang penting dan diikuti oleh isi yang kurang penting.

6.             Secara umum, adalah lebih baik jikalau pembahas menyatakan bidasan sebelum menyatakan isi/hujah sendiri kerana lebih logik untuk menafikan pendirian pihak lawan sebelum menegakkan pendirian sendiri.

7.             Hakim tidak sepatutnya menghakimi ketepatan dan kemantapan penghujahan sahaja tetapi, juga harus mengambil kira ketepatan masa dan keutamaan isu.

8.             Pemahaman tentang isu - Pembahas perlu mengetahui isi-isi penting dalam perbahasan. Berlaku pembaziran masa jikalau persoalan penting tidak dibidas. Dalam keadaan pembahas tidak memahami isu yang penting dalam perbahasan itu, ini bermakna pembahas tidak akan mendapat markah yang tinggi dalam strategi.

9.             Hakim perlu mengetahui perbezaan antara strategi dan isi.

10.         Bayangkan dalam situasi seorang pembahas cuba membidas suatu isi yang penting tetapi tidak membidas dengan baik, bermakna pembahas itu akan mendapat markah yang rendah bagi isi kerana bidasannya kurang berkualiti. Namun pembahas itu akan mendapat markah yang agak baik untuk strategi kerana dapat membidas hujah yang sepatutnya.

GAYA

1.            Hakim tidak seharusnya terpengaruh dengan gaya pembahas yang keterlaluan.

2.            Gaya termasuk cara pembahas berhujah iaitu sebutan dan bahasa gerak badan.

3.            Penggunaan nota dan kad nota dibenarkan dan tidak harus didenda kecuali pembahas ternyata membaca nota.

4.            Penggunaan gajet atau peralatan elektronik semasa berhujah juga boleh diambilkira seandainya membantu penghujahan atau penyampaian pembahas.

5.            Hakim dinasihati agar bertoleransi dengan gaya bertutur dan kepantasan menyampaikan hujah dan markah hanya dipotong jika gaya pembahas melampaui batas.



BAHASA

1.             Penggunaan Bahasa Melayu Nusantara adalah dibenarkan sepanjang sesi perdebatan. Bahasa baku tidak diwajibkan tetapi amat digalakkan.

2.             Aspek bahasa yang harus diambil kira adalah gaya bahasa/laras debat, struktur ayat, tatabahasa dan kosa kata yang berkesan.

3.             Aspek lain yang turut dinilai adalah sebutan, kelancaran, nada dan intonasi suara.


BIDASAN

1.       Pembahas sepatutnya membidas hujah dan bukan contoh, misalnya pembahas pihak pencadang telah memberikan contoh yang lemah tetapi hujahnya tepat dan mantap maka pembangkang  sepatutnya membidas hujah dan bukannya contoh tersebut.

2.       Selain itu, pembahas mungkin boleh memberikan  beberapa contoh/ analogi/ fakta bagi menerangkan hujah yang sama. Oleh itu, jika pembahas daripada pihak lawan dapat membuat satu bidasan yang kukuh untuk menumbangkan semua contoh yang diberi maka tidak perlu membidas setiap contoh.

PENGGULUNGAN

1.              Penggulungan merupakan rumusan tentang pendirian pembahas mengenai isu yang diperdebat. Oleh itu, pembahas sepatutnya hanya menyatakan isu-isu pasukan masing-masing dalam perbahasan tersebut.

2.              Dalam penggulungan, pembahas  tidak digalakkan untuk memfokus kepada perkara yang remeh-temeh atau contoh-contoh.

3.              Pembahas sepatutnya menitikberatkan isu-isu utama yang boleh menyokong pendirian mereka dan seterusnya menggoyahkan pendirian pihak lawan.

4.              Sebagai panduan, jikalau pembahas memfokus kepada contoh dalam penggulungan bermakna pembahas itu mungkin tidak memahami isu perbahasan atau mungkin tidak  memahami teknik perbahasan yang berkesan.

5.              Dalam penggulungan, pembahas tidak boleh mengemukakan hujah baharu.



IZIN LALUAN

1.             Semasa seseorang pembahas sedang berucap, pihak lawan dibenarkan memohon izin laluan dalam tempoh masa yang dibenarkan.

2.             Hanya pembahas pertama dan kedua setiap pasukan sahaja yang boleh memberi dan menerima izin laluan.

3.             Izin laluan ialah celahan formal yang ditujukan kepada pembahas yang sedang berucap. Izin laluan boleh dilakukan dalam bentuk kenyataan, fakta, soalan atau ayat-ayat pendek yang berkaitan dengan isu yang sedang dibahaskan.

4.             Tujuan utama izin laluan adalah untuk memberi atau meminta maklumat lanjut tentang sesuatu isi yang sedang diucapkan.

5.             Pihak lawan boleh membetulkan fakta yang dianggap terpesong. Izin laluan juga boleh digunakan untuk meminta penjelasan dan menyoal pihak lawan.

6.             Izin laluan boleh dilakukan oleh pihak lawan ketika seseorang pembahas menyatakan hujahnya. Namun, pembahas tersebut boleh menerima atau menolak izin laluan itu.

7.             Jikalau izin laluan itu diterima, pihak lawan boleh membetulkan maklumat pembahas itu atau menyatakan soalan tentang isu yang dinyatakan dalam perbahasan tersebut, khususnya yang baru diutarakan oleh pembahas.

8.             Dengan adanya izin laluan bermakna setiap pembahas akan mengambil bahagian dari awal hingga akhir perbahasan dijalankan dan bukan hanya ketika menyatakan hujah masing-masing.

9.             Pembahas seharusnya memainkan peranan memberi pandangannya. Walaupun pandangannya mungkin tidak boleh diterima tetapi sekurang-kurangnya menunjukkan pembahas itu ada mengambil bahagian atau cuba melibatkan diri dalam perbahasan.

10.         Masa selama 15 saat sahaja diperuntukkan untuk setiap izin laluan. Izin laluan haruslah padat, tepat dan bernas.

11.         Izin laluan tidak boleh disalahgunakan untuk sengaja mengganggu pihak lawan kerana terdapat etika yang wajib dipatuhi. Markah strategi akan dikurangkan sekiranya melanggar etika ini.

ETIKA IZIN LALUAN

1.            Pasukan lawan hanya dibenarkan memohon izin laluan antara minit ke-2 dan minit ke-6 ucapan pembahas pertama dan kedua sahaja.

2.            Izin laluan tidak boleh dilakukan pada minit pertama dan minit terakhir semasa pembahas sedang berucap. Loceng akan dibunyikan untuk menandakan permulaan dan penamat masa yang ditetapkan untuk izin laluan.

3.            Tiada izin laluan semasa sesi debat tarung, sesi soalan juri dan sesi penggulungan.

4.            Isyarat-isyarat hormat seperti mengangkat tangan atau berdiri tegak hendaklah dilakukan semasa memohon izin laluan.

5.            Perlakuan yang kasar dan biadap seperti menepuk-nepuk meja atau tangan, memetik jari, melambai-lambai, bersiul, menjerit dan apa-apa sahaja yang sengaja dilakukan untuk tujuan mengganggu pihak lawan akan mengurangkan markah strategi.

6.            Kata-kata yang diucapkan semasa izin laluan hendaklah sopan danberbudi bahasa serta mencerminkan tatasusila, adab, budaya yang tinggi. Menjerit, marah-marah dan mengejek pihak lawan adalah dilarang.

7.            Izin laluan dipohon dengan pembahas berdiri dan menyebut  Izin Laluan. Pembahas yang sedang berucap tidak semestinya menerima setiap izin laluan yang ditujukan kepadanya.

8.            Pembahas boleh:
a)      Meminta pihak lawannya untuk duduk, ATAU
b)     Habiskan ayatnya dan terima izin laluan tersebut, ATAU
c)      Menerima izin laluan ketika itu

MEMOHON DAN MENERIMA IZIN LALUAN

1.             Sepanjang perbahasan seseorang pembahas diwajibkan memohon sekurang-kurangnya dua (2) kali izin laluan.

2.             Pembahas juga mesti menerima sekurang-kurangnya dua (2) kali izin laluan yang ditujukan kepadanya.

3.             Peruntukan peraturan ini tidak tertakluk kepada pembahas ketiga dan pembahas keempat. Mereka hanya akan terlibat dalam sesi debat tarung dan penggulungan.

4.             Pembahas yang memohon izin laluan kurang dua (2) kali akan kehilangan markah strategi.

5.             Pembahas yang tidak menjawab atau tidak menerima izin laluan daripada pihak lawan juga akan kehilangan markah strategi.

6.             Izin laluan dalam tempoh yang dibenarkan perlu dihabiskan oleh penyoal terlebih dahulu sebelum dijawab oleh penerima. Markah ditolak jika melanggar etika ini.

7.             Panel hakim juga boleh menilai sama ada pembahas itu berbahas secara spontan ataupun terikat kepada teks berdasarkan penglibatannya dalam izin laluan.

8.             Sebarang perubahan atau penambahbaikan terhadap segala syarat dan peraturan pertandingan debat ini tertakluk kepada budi bicara dan pertimbangan teliti oleh pihak penganjur atas nasihat Bahagian Teknikal Penghakiman.


Disediakan oleh:
Sekolah Menengah Sains Batu Pahat
KM8, Jalan Tanjung Laboh,
83000 Batu Pahat,
Johor Darul Takzim.