PERATURAN DAN SYARAT
PERTANDINGAN DEBAT JUNIOR SEHEBAT 2015
3 - 5 APRIL 2015, SM SAINS BATU PAHAT, JOHOR DARUL TAKZIM
NAMA
Pertandingan ini dinamakan sebagai PERTANDINGAN DEBAT JUNIOR SEHEBAT 2015.
FORMAT
Setiap pasukan bahas yang mewakili sekolah hendaklah dianggotai oleh empat (4) orang pembahas utama, terdiri daripada dua (2) orang pelajar Tingkatan Satu dan dua (2) orang pelajar Tingkatan Dua (pada tahun semasa pertandingan).
Setiap pasukan juga perlu menyenaraikan seorang (1) guru pengiring dan seorang (1) pembimbing (guru/jurulatih/pelajar senior/bekas pelajar).
Pasukan pencadang yang dikenali sebagai Pihak Kerajaan akan bertanding dengan pasukan pembangkang yang dikenali sebagai Pihak Pembangkang.
Pihak Kerajaan dianggotai oleh Perdana Menteri, Menteri Kedua, Menteri Ketiga dan Menteri Keempat (Debat Tarung).
Pihak Pembangkang dianggotai oleh Ketua Pembangkang, Pembangkang Kedua, Pembangkang Ketiga dan Pembangkang Keempat (Debat Tarung).
Peruntukan masa dan giliran berucap adalah seperti berikut:
NO
|
KERAJAAN
|
MASA
|
NO
|
PEMBANGKANG
|
MASA
|
Ucapan Substantif
|
Ucapan Substantif
| ||||
1
|
Perdana Menteri
|
8 minit
|
2
|
Ketua Pembangkang
|
8 minit
|
3
|
Menteri Kedua
|
8 minit
|
4
|
Pembangkang Kedua
|
8 minit
|
5
|
Menteri Ketiga
|
8 minit
|
6
|
Pembangkang Ketiga
|
8 minit
|
Debat Tarung
(Sesi Debat Terbuka)
|
Debat Tarung
(Sesi Debat Terbuka)
| ||||
7
|
Menteri Keempat
|
90 saat
|
8
|
Pembangkang Keempat
|
90 saat
|
9
|
Menteri Keempat
|
90 saat
|
10
|
Pembangkang Keempat
|
90 saat
|
11
|
Menteri Keempat
|
90 saat
|
12
|
Pembangkang Keempat
|
90 saat
|
(Sesi Soalan Juri)
|
(Sesi Soalan Juri)
| ||||
13
|
Menteri Keempat
|
3 minit
|
14
|
Pembangkang Keempat
|
3 minit
|
Penggulungan
|
Penggulungan
| ||||
16
|
Perdana Menteri @ Menteri Kedua
|
4 minit
|
15
|
Ketua Pembangkang @ Pembangkang Kedua
|
4 minit
|
36 minit
|
36 minit
|
Pembahas pertama kedua-dua pasukan dibenarkan untuk mengutarakan satu hujah sahaja. Pembahas kedua pula wajib mengutarakan dua hujah. Pembahas ketiga tidak boleh mengutarakan hujah-hujah baru tetapi tugas mereka adalah untuk membidas hujah-hujah pasukan lawan. Pembahas keempat pula ditugaskan untuk terlibat dalam sesi debat tarung (sesi debat terbuka dan menjawab soalan juri). Penggulungan pula perlu dilakukan sama ada oleh pembahas pertama atau kedua setiap pasukan.
Semasa satu pihak sedang berucap, ahli-ahli pasukan lawan boleh memohon izin laluan bermula pada minit pertama (paparan kad masa 7:00) hingga minit ketujuh (paparan kad masa 1:00).
Selepas semua pembahas berucap, pembahas keempat daripada kedua-dua pihak akan terlibat dalam sesi debat tarung. Terdapat 2 peringkat pelaksanaan bagi sesi debat tarung ini, iaitu sesi debat terbuka dan sesi soalan juri.
Bagi sesi debat terbuka, setiap pembahas keempat diberi masa selama 90 saat (1 minit 30 saat) untuk mengemukakan apa jua isu berbangkit yang berkaitan dengan ucapan-ucapan substantif yang telah disampaikan lebih awal. Pembahas keempat disyorkan untuk membidas secara ringkas isu pihak lawan dan kemudiannya mengemukakan isu tambahan bagi pasukan sendiri.
Perlakuan ini akan berlaku secara selang-seli antara pembahas keempat kedua-dua belah pihak. Loceng hanya akan dibunyikan setelah tamat 90 saat bagi menandakan pihak lawan boleh bangun untuk membidas dan mengemukakan isu pasukannya pula. Disyorkan agar setiap pembahas keempat memanfaatkan sepenuhnya peruntukan masa 90 saat berkenaan bagi membantu pasukan masing-masing.
Setelah tamat sesi debat terbuka (iaitu tamat masa 9 minit yang diperuntukkan), maka sesi soalan daripada juri pula akan berlangsung. Pihak juri akan mengemukakan satu soalan sahaja (berdasarkan isu-isu yang dibangkitkan semasa sesi debat terbuka) kepada setiap pembahas keempat.
Juri perlu mengemukakan soalan kepada pembahas dalam tempoh masa tidak melebihi 1 minit. Setiap juri akan dinasihatkan untuk memberikan soalan yang ringkas, padat dan tepat. Para pembahas diberi masa selama 1 minit (ruang masa senyap) untuk menyediakan jawapan kepada soalan berkenaan. Apabila tamatnya 1 minit, maka loceng akan dibunyikan dan pembahas keempat hendaklah mengemukakan jawapan lisan beliau dalam tempoh masa 3 minit sahaja.
Sesi soalan juri ini bermula dengan jawapan daripada Menteri Keempat dan kemudiannya Pembangkang Keempat.
Setelah tamatnya sesi soalan juri, maka pihak pembangkang akan memulakan sesi penggulungan kemudian diikuti oleh pihak kerajaan. Peruntukan masa selama 4 minit sahaja diperuntukkan kepada setiap penggulung.
KELAYAKAN
Pertandingan ini hanya terbuka kepada para pelajar Tingkatan 1 dan 2 bagi sesi persekolahan tahun semasa (2015) daripada semua sekolah menengah di Malaysia.
Setiap sekolah hanya dibenarkan menghantar satu pasukan sahaja untuk pertandingan ini, iaitu wajib terdiri daripada dua (2) orang pelajar Tingkatan 1 dan dua (2) orang pelajar Tingkatan 2.
Setiap pasukan hanya boleh mendaftarkan empat (4) orang pembahas utama, seorang (1) guru pengiring dan seorang (1) pembimbing.
Setiap pasukan hanya boleh diwakili oleh para pelajar/murid yang sedang belajar di sekolah berkenaan sahaja.
Pendaftaran pasukan hendaklah disahkan secara rasmi oleh pihak sekolah menerusi Guru Pengiring sebelum diserahkan kepada Urus Setia Pertandingan semasa sesi pendaftaran (Jumaat, 3 April 2015).
Pengesahan penyertaan pasukan semasa sesi pendaftaran kelak hendaklah disertakan dengan SATU SALINAN SIJIL KELAHIRAN / MYKAD untuk setiap pembahas bagi tujuan pengesahan usia setiap peserta oleh pihak penganjur.
Umur peserta/pembahas hendaklah antara 13 hingga 14 tahun pada tahun pertandingan. Kegagalan untuk mematuhi syarat ini akan menyebabkan penyertaan pasukan berkenaan terbatal secara automatik.
Ahli pasukan yang telah didaftarkan dan disahkan secara rasmi tidak boleh diganti oleh peserta lain sepanjang pertandingan. Pelanggaran terhadap peraturan ini akan membatalkan penyertaan pasukan yang terlibat.
PENGHAKIMAN
Bahagian teknikal penghakiman akan diuruskan sepenuhnya oleh pihak penganjur.
Semua pertandingan debat pusingan awal akan dihakimi sama ada secara juri agung (supreme judge), iaitu hanya seorang sahaja hakim yang akan mengadili satu-satu sesi perlawanan.
Pusingan suku akhir akan dihakimi oleh tiga (3) orang hakim bagi setiap sesi perlawanan.
Pusingan separuh akhir akan dihakimi oleh lima (5) orang hakim bagi setiap sesi perlawanan.
Pertandingan akhir akan dihakimi oleh sekurang-kurangnya tujuh (7) orang hakim yang dilantik oleh pihak teknikal penghakiman.
Para hakim akan diberi taklimat tentang peraturan penghakiman sebelum pertandingan.
Para hakim dilarang untuk mengadili pertandingan yang melibatkan pasukan sekolah/alma mater mereka sendiri. Namun begitu, larangan ini akan terbatal sekiranya tiada hakim lain pada ketika itu dan setelah mempeoleh persetujuan kedua-dua pasukan yang bertanding.
Pasukan yang mendapat undi majoriti panel hakim akan diumumkan sebagai pemenang pertandingan. Markah terkumpul setiap pasukan tidak akan dijadikan asas untuk menentukan pemenang pertandingan.
Speaker dewan atau petugas dewan akan memungut borang keputusan semua hakim selepas keputusan diumumkan. Para hakim TIDAK DIBENARKAN UNTUK BERBINCANG atau merujuk dalam kalangan mereka berhubung dengan keputusan yang telah dibuat.
Pembahas terbaik setiap perlawanan akan diputuskan melalui sistem juri. Terdapat dua gelaran pembahas terbaik yang akan ditentukan oleh para hakim, iaitu Pendebat Utama Terbaik dan Pendebat Tarung Terbaik.
Sekiranya berlaku persamaan markah, maka markah keseluruhan tertinggi pembahas akan diambil kira untuk menentukan pembahas terbaik. Nama pembahas terbaik akan diumumkan selepas perbahasan dilaksanakan.
Semua hakim diwajibkan untuk membuat ulasan selepas perbahasan berakhir dalam tempoh masa tidak lebih daripada lima (5) minit.
Ulasan hakim hendaklah berfokus kepada kekuatan dan kelemahan dalam aspek isi, bahasa dan gaya persembahan secara ringkas dan bersifat umum. Ulasan hendaklah tidak menyentuh peribadi mana-mana pembahas secara khusus.
STRUKTUR DAN SISTEM PERTANDINGAN
Semua dua belas (12) buah sekolah yang bertanding akan diundi dan diagihkan ke dalam tiga (3) buah kumpulan, iaitu Kumpulan A, B dan C.
Setiap pasukan akan bertanding secara liga berkumpulan (dalam kumpulan masing-masing) dan akan bertanding sekurang-kurangnya dalam 3 pusingan awal.
Posisi/kedudukan setiap pasukan dalam kumpulan akan ditentukan berdasarkan turutan kriteria berikut;
a) jumlah menang/kalah
b) jumlah juri (jika bersesuaian)
c) jumlah margin (perbezaan markah antara pasukan)
d) jumlah markah pasukan
Setelah tamatnya tiga (3) pusingan awal, maka dua (2) buah pasukan terbaik dalam setiap kumpulan (Johan Kumpulan dan Naib Johan Kumpulan) akan layak ke peringkat separuh akhir.
Bagi melengkapkan jumlah 8 pasukan yang layak ke suku akhir, maka dua (2) buah pasukan terbaik di Tempat Ketiga dalam ketiga-tiga kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir.
Perlawanan suku akhir, separuh akhir dan pertandingan akhir akan dilaksanakan secara menang mara (atau kalah mati).
SEMUA KEPUTUSAN HAKIM ADALAH MUKTAMAD.
Sekiranya terdapat sebarang bantahan berasas terhadap keputusan para hakim, maka bantahan secara bertulis boleh dibuat dalam tempoh dua puluh (20) minit selepas pertandingan kepada Bahagian Teknikal Penghakiman Debat Junior SEHEBAT 2015.
Bayaran deposit sebanyak RM300.00 (Tiga Ratus Ringgit sahaja) akan dikenakan bagi setiap bantahan yang dibuat.
Jika bantahan diterima atau ditolak oleh Bahagian Teknikal Penghakiman, bayaran deposit tersebut tidak akan dipulangkan kepada pasukan yang membuat bantahan berkenaan.
TATACARA PERTANDINGAN
Sejumlah ENAM USUL RASMI PERTANDINGAN akan diumumkan oleh pihak penganjur Pertandingan Debat Junior SEHEBAT 2015 pada hari Rabu, 18 Februari 2015 melalui paparan blog atau surat rasmi yang akan difakskan ke sekolah masing-masing.
Namun begitu, senario kes atau isu yang bakal diketengahkan dalam setiap usul berkenaan akan dipaparkan pada hari Rabu, 10 Disember 2014 bagi memudahkan persediaan setiap pasukan semasa musim cuti sekolah.
Undian penentuan pasukan di dalam kumpulan pula akan dilakukan semasa sesi taklimat pertandingan. Undian ini juga akan menentukan peranan pasukan sama ada selaku kerajaan atau pembangkang bagi setiap pusingan yang akan ditandingi.
Setelah sesi panggilan pasukan (roll-call) dilakukan sebelum bermulanya setiap perlawanan, para pembahas akan diiringi ke bilik kuarantin masing-masing.
Atas faktor logistik dan pengurusan pertandingan, maka ditetapkan bahawa SEMUA PEMBAHAS akan dikuarantinkan DI DALAM BILIK PERSEDIAAN MASING-MASING. Semua pasukan yang dikuarantinkan ini akan dikawal selia oleh petugas masing-masing.
Setiap pasukan yang dikuarantinkan hendaklah terdiri daripada EMPAT (4) orang pembahas utama dan SEORANG (1) pembimbing yang berkaitan dengan pasukan berkenaan.
Fungsi pembimbing ini (hendaklah terdiri daripada sama ada bekas pelajar, pelajar senior, guru atau jurulatih) adalah untuk memberi panduan sewaktu sesi kuarantin berlangsung.
Sebarang percubaan oleh mana-mana pihak lain (selain daripada 4 orang pembahas dan seorang pembimbing ini) untuk menceroboh masuk ke bilik kuarantin atau tindakan yang boleh mengganggu sesi kuarantin, sama ada dengan niat atau tidak dalam tempoh kuarantin dijalankan akan dipandang serius oleh Bahagian Teknikal Penghakiman.
Pihak penganjur boleh mengambil tindakan susulan terhadap pihak terbabit berdasarkan maklumat yang telah diterima daripada semua pihak berkepentingan.
Penggunaan komputer riba, gajet elektronik, dan sebarang perkakasan yang memiliki akses kepada laman sesawang atau Internet TIDAK DIBENARKAN SEMASA SESI KUARANTIN.
Penggunaan telefon bimbit TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI.
Sebarang bahan bercetak BOLEH DIBAWA SEBAGAI RUJUKAN semasa sesi kuarantin dan/atau semasa bertanding tetapi TIDAK BOLEH DIPAPARKAN KEPADA AUDIENS SEBAGAI BAHAN BUKTI (contohnya, mengangkat keratan akhbar atau majalah bagi membuktikan kenyataan pembahas).
Pasukan-pasukan yang bertanding disarankan agar membawa modem mudah alih sendiri untuk memastikan kemudahan akses kepada laman sesawang diperoleh pada setiap masa.
Peruntukan masa kuarantin ditetapkan antara 15 hingga 30 minit sahaja bergantung kepada pengumuman Bahagian Teknikal Penghakiman.
Setiap pasukan dikehendaki untuk berada di dalam bilik pertandingan dalam jangkasama 5 minit sebelum perbahasan bermula bagi melancarkan pertandingan. Pasukan yang gagal hadir setelah 15 minit bermulanya pertandingan akan diisytiharkan kalah secara automatik.
Sebarang bantuan daripada penonton atau penyokong ketika perbahasan dijalankan adalah dilarang sama sekali. Speaker Dewan berhak memaklumkannya kepada Ketua Hakim untuk tindakan lanjut.
PERANAN SPEAKER DEWAN / TUAN YANG DIPERTUA DEWAN
Setiap sesi pertandingan bahas akan dipengerusikan oleh seorang speaker dewan bagi memastikan kelancaran pertandingan. Dalam kes-kes tertentu, speaker dewan boleh dilantik dalam kalangan hakim yang bertugas, terutamanya Ketua Hakim.
Speaker dewan tidak boleh membuat sebarang ulasan terhadap pembahas atau perbahasan semasa pertandingan sedang berlangsung.
Speaker dewan mesti peka pada sebarang bentuk bantuan yang diberikan atau gangguan kepada pembahas dan memaklumkan kepada Ketua Hakim untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Hakim berkuasa untuk meminta pihak yang terbabit meninggalkan bilik perbahasan bagi memastikan pertandingan dapat berlangsung dalam suasana yang adil dan selesa.
Speaker dewan perlu memberi peruntukan masa yang sesuai kepada para hakim untuk mengisi markah. Speaker dewan hendaklah menunggu isyarat daripada Ketua Hakim sebelum meneruskan perbahasan oleh pembahas seterusnya.
Speaker Dewan akan mengumumkan mengumumkan keputusan pertandingan, pendebat utama terbaik dan pendebat tarung terbaik.
PERANAN PENJAGA MASA / BENTARA DEWAN
Petugas dewan (penjaga masa / bentara dewan) perlu memastikan setiap pembahas diperuntukkan lapan (8) minit untuk berbahas, 90 saat untuk sesi debat terbuka, tiga (3) minit untuk sesi soalan juri dan empat (4) minit untuk menggulung.
Penjaga masa akan membunyikan loceng selepas minit pertama (1:00) dan pada minit ketujuh (7:00) untuk menandakan ruang masa yang dibenarkan untuk pihak lawan memohon izin laluan. Pada akhir minit kelapan (8:00), loceng akan dibunyikan sebanyak dua kali.
Kad masa akan ditunjukkan oleh penjaga masa bagi memaklumkan baki masa yang tinggal pada setiap 1 minit (count down).
Memastikan peruntukan masa 90 saat diberikan kepada setiap pembahas keempat dalam sesi debat terbuka.
Memberi masa maksimum sebanyak satu (1) minit masa persediaan kepada kedua-dua pembahas keempat untuk menyediakan jawapan kepada soalan juri.
Memastikan peruntukan masa tiga (3) minit diberikan kepada setiap pembahas keempat dalam sesi soalan juri.
Memberi masa maksimum sebanyak satu (1) minit masa persediaan kepada kedua-dua pasukan untuk menyediakan ucapan penggulungan.
Semasa ucapan penggulungan, penjaga masa akan membunyikan loceng sekali pada minit ketiga (1:00) bagi menandakan pembahas mempunyai baki masa sebanyak 1 minit. Pada akhir minit keempat, loceng akan dibunyikan dua kali untuk menandakan berakhirnya ucapan penggulungan.
Penjaga masa/bentara dewan perlu memastikan semua keputusan, fail hakim dan peralatan perbahasan dihantar ke Bilik Urus Setia Bahas setelah selesainya pertandingan perbahasan.
SISTEM PEMARKAHAN
UCAP UTAMA / UCAPAN SUBSTANTIF : 8 MINIT
Setiap pembahas akan diberikan markah mengikut pembahagian berikut:
a. Isi = 30 markah
b. Strategi = 30 markah
c. Gaya = 20 markah
d. Bahasa = 20 markah
-------------------------------------
Jumlah = 100 markah
-------------------------------------
Setiap pembahas utama diberi 8 minit untuk berucap.
SESI DEBAT TARUNG : 7 MINIT 30 SAAT
Setiap pembahas akan diberikan markah mengikut pembahagian berikut:
a. Isi = 30 markah
b. Strategi = 30 markah
c. Gaya = 20 markah
d. Bahasa = 20 markah
-------------------------------------
Jumlah = 100 markah
-------------------------------------
Setiap pembahas dalam debat tarung diberi masa 7 minit 30 saat untuk berucap. Agihannya adalah seperti berikut:
Menteri Keempat : (90 saat x 3 kali) + 3 minit = 7 minit 30 saat
Pembangkang Keempat : (90 saat x 3 kali) + 3 minit = 7 minit 30 saat
UCAPAN PENGGULUNGAN : 4 MINIT
Setiap pembahas akan diberikan markah seperti berikut :
a. Bidasan = 25 markah
b. Rumusan = 25 markah
-------------------------------------
Jumlah = 50 markah
-------------------------------------
Pembahas keempat akan memberi ucapan penggulungan. Pihak Pembangkang akan memulakan Ucapan Penggulungan dan diikuti oleh pihak Kerajaan.
Setiap penggulung diberi 4 minit untuk berucap.
RUJUKAN UNTUK BORANG PEMARKAHAN
AGIHAN MARKAH
Peruntukan markah bagi setiap pembahas adalah seperti berikut :
· Isi = 30 markah
· Strategi = 30 markah
· Gaya = 20 markah
· Bahasa = 20 markah
ISI
Hakim perlu menilai isi dari segi hujah yang disampaikan dan bukan dari gaya penyampaian hujah. Hakim sewajarnya (harus) menilai ketepatan dan kemantapan hujah tanpa dipengaruhi oleh kepandaian pembahas berkata-kata.
Penilaian isi juga termasuk penilaian dari segi ketepatan dan kemantapan bidasan. Hakim dinasihati mengikut tahap kemampuan pelajar sekolah menengah rendah.
Tugas hakim adalah untuk menilai ketepatan dan kemantapan hujah dan bukannya sama ada lawan boleh membidas hujah yang diberi. Jikalau hujahnya kurang dari segi isi, markah untuk isi adalah kurang walaupun lawannya tidak membidas.
Jikalau hujah yang diberi adalah lemah dari segi kemantapan dan ketepatan isi dan hujah itu tidak dilawan oleh pihak lawan, maka pihak yang tidak membidas hujah tersebut telah melakukan kesalahan yang lebih serius berbanding pihak yang menyampaikan hujah yang lemah itu kerana tidak mengambil kesempatan membidas hujah yang lemah itu. Namun begitu, bidasan yang dibuat harus berdasarkan intipati hujah dan bukannya berdasarkan contoh dan analogi.
GAYA
Hakim tidak seharusnya terpengaruh dengan gaya pembahas yang keterlaluan.
Gaya termasuk cara pembahas berhujah iaitu sebutan dan bahasa gerak badan.
Penggunaan nota dan kad nota dibenarkan dan tidak harus didenda kecuali pembahas ternyata membaca nota.
Hakim dinasihati agar bertoleransi dengan gaya bertutur dan kepantasan menyampaikan hujah dan markah hanya dipotong jika gaya pembahas melampaui batas.
STRATEGI
Strategi memerlukan pemerhatian yang lebih dan meliputi dua (2) konsep iaitu struktur penghujahan dan peruntukan masa berhujah serta pemahaman pembahas terhadap usul.
Struktur Penghujahan yang bermutu mempunyai pendahuluan, huraian dan penutup yang jelas. Semasa penghujahan diberikan, kata kunci akan diberi sebagai panduan arah tuju pembahas.
Penghujahan perlu bersifat logik dan menunjukan kesinambungan. Hal ini penting terutamanya pembahas pertama mewakili kerajaan dan pembahas ketiga bagi pihak pembangkang menyampaikan hujah mereka. Oleh itu, hujah merupakan salah satu komponen strategi.
Tempoh masa penghujahan adalah penting. Terdapat dua (2) aspek yang berkaitan dalam hal ini iaitu berhujah dalam masa yang dibenarkan dan memberi tempoh masa yang secukupnya untuk isu perhujahan.
Pembahas sepatutnya memberi keutamaan kepada isi yang penting dan diikuti oleh isi yang kurang penting.
Secara umum, adalah lebih baik jikalau pembahas menyatakan bidasan sebelum menyatakan isi/hujah kerana lebih logik untuk menafikan pendirian pihak lawan sebelum menegakkan pendirian pembahas.
Hakim tidak sepatutnya menghakimi ketepatan dan kemantapan penghujahan sahaja tetapi, juga harus mengambil kira ketepatan masa dan keutamaan isu.
Pemahaman tentang isu - Pembahas perlu mengetahui isi-isi penting dalam perbahasan. Berlaku pembaziran masa jikalau persoalan penting tidak dibidas. Dalam keadaan pembahas tidak memahami isu yang penting dalam perbahasan itu, ini bermakna pembahas tidak akan mendapat markah yang tinggi dalam strategi.
Hakim perlu mengetahui perbezaan antara strategi dan isi. Bayangkan dalam situasi seorang pembahas cuba membidas suatu isi yang penting tetapi tidak membidas dengan baik, bermakna pembahas itu akan mendapat markah yang rendah bagi isi kerana bidasannya. Namun pembahas itu akan mendapat markah yang agak baik untuk strategi kerana dapat membidas hujah yang sepatutnya.
Maksimum lima (5) markah strategi akan ditolak sekiranya para pembahas mengubah usul perbahasan.
BAHASA
Aspek bahasa yang harus diambil kira ialah:
a. gaya bahasa / laras bahasa
b. struktur ayat
c. tatabahasa
d. kosa kata
Aspek bahasa lain yang turut dinilai ialah;
a. sebutan (baku)
b. kelancaran
c. nada
d. intonasi
BIDASAN
Pembahas sepatutnya membidas hujah dan bukan contoh, misalnya pembahas pihak kerajaan telah memberikan contoh yang lemah tetapi hujahnya tepat dan mantap maka pembangkang sepatutnya membidas hujah dan bukan contoh.
Selain itu, pembahas mungkin boleh memberikan beberapa contoh / analogi bagi menerangkan hujah yang sama. Oleh itu, jika pembahas daripada pihak lawan dapat membuat satu bidasan yang kukuh untuk menumbangkan semua contoh yang diberi maka tidak perlu membidas setiap contoh.
PENGGULUNGAN
Penggulungan merupakan rumusan tentang pendirian pembahas mengenai isu yang diperdebat. Oleh itu, pembahas sepatutnya hanya menyatakan isu-isu pasukan masing-masing dalam perbahasan tersebut.
Dalam penggulungan, pembahas tidak digalakkan memfokus kepada perkara yang remeh-temeh atau contoh-contoh.
Pembahas sepatutnya menitikberatkan isu-isu utama yang boleh menyokong pendirian mereka dan seterusnya menggoyahkan pendirian pihak lawan.
Sebagai panduan, jikalau pembahas memfokus kepada contoh dalam penggulungan bermakna pembahas itu mungkin tidak memahami isu perbahasan atau mungkin tidak memahami teknik perbahasan yang berkesan.
Dalam penggulungan, pembahas tidak boleh mengemukakan hujah baharu.
IZIN LALUAN
Semasa seseorang pembahas sedang berucap, pihak lawan dibenarkan memohon izin laluan dalam tempoh masa yang dibenarkan.
Izin laluan ialah celahan formal yang ditujukan kepada pembahas yang sedang berucap. Izin laluan boleh dilakukan dalam bentuk:
a) Kenyataan
b) Fakta
c) Soalan
d) Ayat-ayat pendek yang berkaitan dengan isu yang dibahaskan.
Tujuan utama izin laluan adalah untuk memberi atau meminta maklumat lanjut tentang sesuatu isi yang sedang diucapkan.
Pihak lawan boleh membetulkan fakta yangdianggap terpesong. Izin laluan juga boleh digunakan untuk meminta penjelasan dan menyoal pihak lawan.
Izin laluan boleh dilakukan oleh pihak lawan ketika seseorang pembahas menyatakan hujahnya.
Pembahas itu boleh menerima atau menolak izin laluan itu.
Jikalau izin laluan itu diterima, pihak lawan boleh membetulkan maklumat pembahas itu atau menyatakan soalan tentang isu yang dinyatakan dalam perbahasan tersebut, khususnya yang baru diutarakan oleh pembahas.
Dengan adanya izin laluan bermakna setiap pembahas akan mengambil bahagian dari awal hingga akhir perbahasan dijalankan dan bukan hanya ketika menyatakan hujah masing-masing.
Pembahas seharusnya memainkan peranan memberi pandangannya. Walaupun pandangannya mungkin tidak boleh diterima tetapi sekurang-kurangnya menunjukkan pembahas itu ada mengambil bahagian atau cuba melibatkan diri dalam perbahasan.
Masa selama 15 saat sahaja diperuntukkan untuk setiap izin laluan. Izin laluan haruslah padat dan bernas.
Izin laluan tidak boleh disalahgunakan untuk sengaja mengganggu pihak lawan kerana terdapat etika yang wajib dipatuhi. Markah strategi akan dikurangkan sekiranya melanggar etika ini.
ETIKA IZIN LALUAN
Pasukan lawan hanya dibenarkan memohon izin laluan antara minit ke-2 dan minit ke-7 ucapan pembahas.
Izin laluan tidak boleh dilakukan pada minit pertama dan minit terakhir semasa pembahas sedang berucap. Loceng akan dibunyikan untuk menandakan permulaan dan penamat masa yang ditetapkan untuk izin laluan.
Tiada izin laluan semasa sesi debat tarung dan sesi penggulungan.
Isyarat-isyarat hormat seperti mengangkat tangan atau berdiri tegak hendaklah dilakukan semasa memohon izin laluan.
Perlakuan yang kasar dan biadap seperti menepuk-nepuk meja atau tangan, memetik jari, melambai-lambai, bersiul, menjerit dan apa-apa sahaja yang sengaja dilakukan untuk tujuan mengganggu pihak lawan akan mengurangkan markah strategi.
Kata-kata yang diucapkan semasa izin laluan hendaklah sopan danberbudi bahasa serta mencerminkan tatasusila, adab, budaya yang tinggi. Menjerit, marah-marah dan mengejek pihak lawan adalah dilarang.
Izin laluan dipohon dengan pembahas berdiri dan menyebut Izin Laluan. Pembahas yang sedang berucap tidak semestinya menerima setiap izin laluan yang ditujukan kepadanya.
Pembahas boleh:
· Meminta pihak lawannya untuk duduk
· Habiskan ayatnya dan terima izin laluan tersebut
· Menerima izin laluan ketika itu
MEMOHON DAN MENERIMA IZIN LALUAN
Sepanjang perbahasan seseorang pembahas diwajibkan memohon sekurang-kurangnya dua (2) kali izin laluan.
Pembahas juga mesti menerima sekurang-kurangnya dua (2) kali izin laluan yang ditujukan kepadanya.
Peruntukan peraturan ini tidak tertakluk kepada pembahas keempat. Mereka hanya akan terlibat dalam sesi debat tarung sahaja.
Pembahas yang memohon izin laluan kurang dua (2) kali akan kehilangan markah strategi.
Pembahas yang tidak menjawab atau tidak menerima izin laluan daripada pihak lawan juga akan kehilangan markah strategi.
Izin laluan dalam tempoh yang dibenarkan perlu dihabiskan oleh penyoal terlebih dahulu sebelum dijawab oleh penerima. Markah ditolak jika melanggar etika ini.
Panel hakim juga boleh menilai sama ada pembahas itu berbahas secara spontan ataupun terikat kepada teks berdasarkan penglibatannya dalam izin laluan.
Sebarang perubahan atau penambahbaikan terhadap segala syarat dan peraturan pertandingan debat ini tertakluk kepada budi bicara dan pertimbangan teliti oleh pihak penganjur atas nasihat Bahagian Teknikal Penghakiman.
No comments:
Post a Comment